Monday 19 April 2021

EPPD 1063: HTML

                      Assalamualaikum pembaca 😇,



                   Apa itu HTML? HTML merupakan singkatan daripada HyperText Markup Language. Pada dua minggu yang lepas, saya mendapat tugasan untuk membuat Curriculum Vitae (CV) menggunakan HTML. Disebabkan 8 tahun yang lepas saya pernah menggunakan blog, saya pernah mempelajari sedikit sebanyak tentang coding kerana hendak menghias blog. Meskipun begitu, saya bukanlah terlalu mahir kerana saya hanya sekadar mempelajari ilmu yang asas berdasarkan tutorial dari pelbagai blog antaranya blog Lyssa Faizureen.


                 Sekiranya anda meminati tentang HTML, anda bolehlah ke laman web w3schools.com untuk mempelajari berbagai lagi kaedah untuk menghias HTML. Saya amat tertarik ketika pensyarah saya memperkenalkan laman web ini kepada kami kerana ianya sangat menarik dan mudah untuk diikuti. Selain itu, kalian juga boleh pergi ke youtube dan mempelajarinya di sana. Youtube menyediakan lebih banyak kandungan yang mudah untuk difahami dan disertai dengan penerangan lebih lanjut. 


                    Di atas merupakan hasil CV yang saya sudah siapkan. Baiklah, saya rasa sekadar di sini sahaja coretan saya pada kali ini, sehingga berjumpa lagi. Jaga diri semua 😇


                    Sekian, terima kasih

Wednesday 7 April 2021

Budaya Menepati Masa di Jepun

                     Assalamualaikum pembaca 😇,


                    Masa merupakan perkara yang sangat penting untuk dititikberatkan kerana apabila masa sudah berlalu, ia tidak akan berulang kembali. Pepatah Arab ada menyebut, 'Waktu itu ibarat pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotongmu'. Di Jepun, rata-rata masyarakatnya amat menitik beratkan soal masa dalam setiap hal. Mereka sangat menjaga masa sehinggakan berlaku satu tragedi yang amat dahsyat iaitu pada tanggal 25 April 2005 di Amagasaki. Seorang pemandu tren telah lewat selama 90 saat untuk mengambil penumpang di stesen kereta api dan menyebabkan beliau menambahkan kelajuan tren sehingga menyebabkan tren hilang kawalan dan melanggar sebuah apartment. 


kredit :alchetron

                     Kemalangan ini telah mengakibatkan seramai 107 orang maut dan 562 orang cedera. Berdasarkan siasatan mendapati, penumpang merasakan tren itu telah bergerak dengan kelajuan yang lebih laju daripada biasa. Hal ini kerana, pemandu tersebut khuatir akan dikenakan tindakan disebabkan telah melakukan kesalahan tersebut. Oleh yang demikian, pengajaran saya perolehi daripada tragedi ini adalah kita mestilah menepati masa, akan tetapi kita tidak boleh terlampau ekstrim dalam sesuatu perkara kerana ia akan membawa kepada kemudaratan. Hiduplah secara besederhana.








                       Sekian, terima kasih.



Saturday 3 April 2021

Budaya Membaca di Jepun

                  Assalamualaikum pembaca 😇,

 

                 Pada perkongsian kali ini, saya akan menceritakan serba sedikit mengenai budaya di negara Matahari terbit iaitu Jepun. Saya amat menyukai disiplin masyarakat di Jepun kerana kebanyakan daripada mereka tidak suka membuang masa dengan perkara yang tidak bermanfaat. Sekiranya mereka mempunyai masa yang lapang, mereka akan mengisinya dengan aktiviti yang berfaedah seperti membaca. Hal ini kerana, Jepun sememangnya sebuah negara di mana rakyatnya sangat cinta akan ilmu kerana mereka menyedari kepentingan ilmu pengetahuan dalam membangunkan negara mereka. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mereka merupakan antara negara maju di dunia kerana masyarakatnya mempunyai minda kelas pertama.



kredit gambar : Iluminasi.com

  
                  Masyarakat yang berilmu merupakan antara faktor yang dapat membentuk sebuah negara itu menjadi negara yang maju kerana masyarakat sudah celik ilmu dan tidak mudah terpengaruh atau tertipu dengan mana-mana pihak yang lain. Seperti slogan yang tidak asing lagi iaitu 'bangsa membaca, bangsa berjaya' sudah cukup untuk membuktikan pernyataan ini. Oleh yang demikian, perbanyakkanlah aktiviti membaca terutama sekali bagi umat Islam kerana wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W adalah iqra', iaitu bacalah. Sebagai seorang umat Islam, kita mestilah mengikuti ajaran yang diajarkan oleh agama kita kerana disebalik segala suruhan itu, hakikatnya terselit beribu-ribu manfaat yang kita akan perolehi di dunia dan akhirat.





                   Sekian, terima kasih.